11 Aug 2009 10:07AM
Oleh Wartawan klpos.com
JAM sudah menunjukkan pukul 1.30 pagi, tapi Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tian Chua masih segar, dan bersemangat untuk ditemubual oleh klpos.com. Yang menariknya, inilah kali pertama wartawan dibenarkan ke rumah beliau, dan klpos.com diberikan penghormatan itu.
Terletak hanya beberapa minit berkereta dari pusat perniagaan terkenal One Utama. Untuk memasuki kawasan perumahan separuh mewah itu memerlukan kenderaan melalui pondok pengawal terlebih dahulu.
Deretan rumah jenis semi-D dan teres dua tingkat memenuhi kawasan ini, barangkali separuh daripadanya dihuni oleh kaum Cina berdasarkan tanglong di hadapan rumah.
"Ini rumah keluarga saya, saya hanya jaga sahaja," katanya merendah diri selepas saya bertanyakan nilai hartanah di kawasan tersebut.
"Barangkali antara 600 ribu ke sejuta bergantung kepada saiz rumah," kata Tian.
Keturunan Cina Peranakan
Ketika memasuki rumahnya, pengunjung akan tertarik dengan lanskap yang tersusun cantik, kemas dan teratur meniru gaya Bali yang bersahaja. Ada sebuah basikal yang kata Tian digunakan untuk beriadah bila ada masa lapang.
Berasal dari keluarga yang berpegang kuat kepada tradisi Cina, Tian generasi ketiga dari keluarganya yang lahir di Malaysia. Moyang sebelah ayahnya dulu berhijrah ke sini dari Selatan China daerah Hai Fong.
Kemas, bisik hati saya ketika melangkah masuk ke rumahnya itu. Tian tinggal di situ seorang diri, berumur 44 tahun dan masih belum berkahwin.
Manakala di sebelah ibunya pula, lebih lama tinggal di Malaysia. "Keluarga ibu saya adalah keluarga baba nyonya, yang sangat fasih bercakap Melayu dan tinggal di Melaka sejak berabad dahulu," katanya.
Tian berkelulusan sarjana falsafah dari sebuah universiti Australia minat asalnya dalam bidang pertanian tetapi tuntutan masa menjadikan beliau lebih cenderong kepada falsafah. Antara rakan karibnya ketika belajar di negara kanggaroo itu adalah Ketua Pengarang Malaysiakini.com Stevan Gan.
Terdidik dengan pengajian falsafah barangkali menimbulkan minatnya mengumpul barang yang membawa nilai kebudayaan sesuatu bangsa.
Kumpul keris, kain dan topeng
Anda dapat melihat dengan jelas minatnya itu jika bertandang ke rumah beliau. Berbagai jenis kain pua yang dikumpulkan dari Sarawak, Kalimatan, Kemboja dan Nepal ada tergantung di sudut-sudut tertentu rumah dua tingkat itu.
Selain itu ada rak khas yang mempamerkan koleksi senjata berbagai jenis yang dikumpulkan Tian sejak 17 tahun lalu.
"Saya meminati senjata, terutamanya keris kerana ia direka bukan sahaja sebagai senjata membunuh tetapi turut mewarisi kebudayaan serta falsafah masyarakat Melayu," katanya.
Beliau sendiri mengumpulkan tidak kurang dari 15 jenis keris berbagai bentuk dari berbagai negara. Ada sebentuk yang ditunjukkan kepada saya berasal dari Acheh, kata Tian.
Jika diamati keris tersebut, ia direka berdasarkan kalimat Allah dari hulu hingga ke hujungnya.
"Ini dapat difahami kerana Acheh terkenal dengan tradisi Islam yang kuat sejak dulu kala lagi, di sana mereka menamakan keris jenis ini sebagai lencong" jelas Tian.
Selain keris dari Acheh, ada keris dari Bali, dan Jawa, menurut Tian, untuk mengenali keris Jawa ia selalunya mempunyai tujuh lekuk atau lok atau lebih.
"Lok pada keris dibuat dalam kiraan ganjil, tiga, tujuh, sembilan dan sebelas, tapi saya belum menemui yang mempunyai lok lima sehingga kini," katanya.
Topeng dan falsafahnya
Saya kagum dengan kefahaman tinggi Tian Chua terhadap kebudayaan Melayu. Tidak hairanlah beliau antara segelintir pemimpin pembangkang bukan Melayu yang mudah diterima oleh orang Melayu.
Beliau fasih berbahasa Melayu dan tahu adat serta budaya Melayu sehinggakan beliau tidak segan memberi salam sebagai pembuka kata sebelum berceramah.
Selain keris, ada juga sabit dari Kemboja yang digunakan untuk memotong padi, bentuknya seperti kuku kambing tetapi lebih besar lagi. Ada juga sejenis pisau yang dipanggil kugeri iaitu sejenis senjata yang digunakan oleh tentera Gurka Nepal untuk memotong leher musuh tersimpan dalam koleksi Tian Chua.
"Ada sejenis senjata purba China yang dipanggil pisou, miripnya seperti keris, yang digunakan sebagai senjata untuk tempur jarak dekat," katanya satu ketika.
Selain koleksi keris dan kain, Tian juga gemar mengumpul topeng, kebanyakkannya dari Bali dan Jawa.
"Ada falsafah tersendiri di sebalik penciptaan setiap topeng-topeng ini, kebanyakannya topeng ini berasal dari watak-watak dalam hikayat Mahabarata dan Ramayana, yang amat berpengaruh dalam kebudayaan hindu Jawa dan Bali sebelum kedatangan Islam," katanya.
Bersambung bahagian kedua esok:
Belajar mukaddam dalam ISA
Nota pengarang:
SEMPENA tahun ketiga KLpos.com memainkan peranan dalam menyampaikan berita dan rencana-rencana alternatif di arena siber tanah air, hari ini kami menyiarkan kembali temubual-temubual eksklusif kami dengan individu-individu penting beberapa tahun lalu.
Di awal kemunculan kami beberapa tahun lepas kami telah menemubual tokoh-tokoh muda serta berjaya yang kini rata-ratanya telah menjadi wakil rakyat baik sebagai ahli parlimen mahupun ahli dewan undangan negeri sejak keputusan luarbiasa berlaku pada pilihanraya kecil ke-12 8 Mac lalu.
KLpos.com akan menyiarkan kembali satu episod setiap hari siri eksklusif kami yang disusun semula untuk pembaca yang ketinggalan mengikutinya dahulu. - Pengarang
Krisis Istana: Tak Mahu Caro, Diam Juga Nasihat? -Nik Aziz
14 tahun yang lalu
0 ulasan:
Catat Ulasan