Kongsi gelap taja YB?
Oleh WAN NOOR HAYATI WAN ALIAS
dan ASSIM HASSAN
KUALA LUMPUR 28 Julai – Seorang penganalisis jenayah tidak menolak kemungkinan terdapat segelintir wakil rakyat ditaja oleh kumpulan-kumpulan kongsi gelap tertentu untuk menghalalkan kegiatan haram di kawasan mereka.
Hasil analisis dan pemerhatian pihaknya mendapati, banyak kegiatan haram antaranya pusat judi, hiburan, spa dan pelacuran tumbuh di kawasan terlibat selepas wakil rakyat berkenaan memenangi pilihan raya.
Menurut Kamal Affandi Hashim, tindakan wakil rakyat itu yang menghalalkan kegiatan haram di kawasannya dianggap sebagai membalas jasa golongan berkenaan.
“Berdasarkan analisis dan kajian saya, sebaik sahaja segelintir wakil rakyat ini dipilih menjadi wakil rakyat, muncul pusat-pusat perjudian, hiburan dan pelacuran yang tumbuh seperti cendawan selepas hujan,” dakwanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Baru-baru ini, pelbagai pihak menggesa supaya operasi besar-besaran dijalankan untuk menggempur dan melumpuhkan kegiatan kongsi gelap yang semakin berleluasa khususnya di sekitar Lembah Klang.
Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali sebelum ini berkata, kegiatan kongsi gelap yang melindungi pusat-pusat hiburan, perjudian dan pelacuran memang sudah lama wujud di negara ini.
Dalam pada itu, Kamal Affandi berkata, wakil rakyat sedemikian hanyalah pemimpin boneka yang dibayangi kumpulan kongsi gelap terbabit kerana perbelanjaan sewaktu berkempen ditaja dan diri mereka dilindungi kumpulan itu.
Jelas beliau, kumpulan kongsi gelap terbabit perlu dibanteras habis-habisan kerana ia turut menyumbang kepada jenayah perkauman, khususnya apabila mereka terlibat dalam pertubuhan atau komuniti tertentu.
Sehubungan itu, katanya, kebimbangan utama kini ialah apabila rakyat gagal menilai siapa pemimpin yang mereka pilih bagi membawa keamanan dan pembangunan setempat.
“Segelintir rakyat kini dilanda masalah iaitu gagal membuat telahan yang tepat untuk memilih pemimpin yang bersih,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Muhammad Sabtu Osman ketika diminta mengulas fenomena kongsi gelap di Kuala Lumpur memberitahu, jenayah itu masih berada dalam keadaan terkawal dan tidak membimbangkan.
Katanya, kumpulan kongsi gelap di ibu negara tidak bergiat secara aktif dan pihaknya sentiasa memantau dan berjaga-jaga mengenai jenayah itu.
Tegas beliau, jika kumpulan berkenaan dilihat mengganggu dan menimbulkan kekacauan kepada keselamatan orang awam, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan.
“Kita memang menyedari terdapat beberapa kumpulan kongsi gelap di sekitar Kuala Lumpur, tapi saya tidak boleh mengulas lanjut mengenainya,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Krisis Istana: Tak Mahu Caro, Diam Juga Nasihat? -Nik Aziz
14 tahun yang lalu
0 ulasan:
Catat Ulasan