THE CORRIDORS OF POWER
Oleh Raja Petra Kamarudin
Hari Yang Amat Sedih Bagi Malaysia
Segalanya memang sudah terbayang, lama dahulu lagi. Loceng amaran memang sudah lama berderingan. Akan tetapi semua itu sengaja tidak dipedulikan. Perkara itu sengaja diabaikan kerana Malaysia Today yang mengeluarkan amaran dan isyarat itu. Malaysia Today dianggap sebagai sumber yang tidak boleh diharap sangat.
Malaysia Today dianggap sebagai sumber cerita karut-marut yang penuh dengan berita angin dan perkara yang remeh-temeh sahaja.
Apabila Badan Pencegah Rasuah (BPR) yang kini dinaik-taraf namanya menjadi SPRM, menculik ahli keluarga seorang inspektor polis, perkara itu telah diterbitkan oleh Malaysia Today. Mereka telah menculik isteri dan seorang anak kecil seorang inspektor yang sedang menyiasat seorang ketua samseng kongsi gelap atas arahan seorang pegawai atasan berpangkat ASP.
Si inspektor polis hanya menjalankan tugas yang diarahkan oleh ketuanya, yakni membuka satu fail dan memulakan siasatan terhadap kegiatan pelacuran orang Cina, jerung peminjam wang haram, sindiket dadah dan perjudian. Kesan siasatan itu telah menyebabkan tiga orang ketua sindiket haram itu tertangkap.
Apa yang SPRM mahu inspektor lakukan adalah amat mudah sahaja. Mereka mahu si inspektor mengubah laporan siasatannya untuk membolehkan tiga orang ketua kongsi gelap itu dibebaskan.
Si inspektor perlu lakukan kehendak itu seandainya dia mahu melihat isteri dan anaknya dibebaskan.
Si Inspektor Polis enggan berbuat demikian. Sebaliknya beliau membuat satu laporan polis pula. Isteri beliau pun berbuat perkara yang sama. Akan tetapi, tidak ada perkembangan selepas itu. Pegawai SPRM tidak pun ditangkap dan ditahan serta diheret ke mahkamah kerana perbuatan menculik.
Sebaliknya SPRM telah membocorkan maklumat kepada media bahawa mereka sedang menyiasat seorang pegawai tinggi polis. Pegawai itu ialah Pengarah Cawangan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman (CCID) kerana jenayah tidak mengisytiharkan asset beliau bernilai RM27 juta. Mereka tidak pedulikan bahawa pendedahan itu adalah menyalahi Akta Rahsia Rasmi Negara (OSA). Lagi pun OSA pada lazimnya digunakan terhadap penyokong parti pembangkang dan bukannya terhadap mereka yang berlenggang di koridor kuasa.
Apa pun, kemudiannya, Pengarah CCID itu tidak pun didakwa kerana tidak mengisytiharkan aset bernilai 27 juta itu. Beliau telah dikenakan tuduhan menggunakan harta polis untuk faedah sendiri dan peribadi. Sedangkan itulah perkara yang lazim dipraktikkan oleh semua pegawai kerajaan, menteri-menteri dan orang politik setiap hari. Akan tetapi jenayah sebenar beliau ialah kerana menahan beberapa orang ketua kongsi gelap yang menguasai dunia pelacuran, ceti haram, dadah dan perjudian di merata negara Malaysia ini.
Ketika mereka menahan peguam yang membela pengarah CCID itu dahulu, pegawai SPRM telah mengunjungi beliau pada petang sebelum Hari Raya di pejabatnya. Tangan beliau telah digari seolah-olah beliau adalah seorang penyamun dan perompak bank. Untuk terus mengaibkan si peguam itu, penahanan dan penangkapan beliau telah dilakukan di hadapan khalayak ramai di pejabatnya.
Inilah yang ditulis dan diceritakan oleh Malaysia Today. Inilah juga yang telah ditulis berulang kali oleh Malaysia Today untuk menentukan sesiapa yang terlepas pandang cerita ini akan sedar akan kewujudannya. Namun demikian, tidak pun ada tindakan yang dilaksanakan. Tidak pun ada sesiapa yang menafikannya. Tidak jua ada sesiapa yang mengambil tindakan terhadapnya.
SPRM sudah merupakan satu alat kepada mereka yang memegang tampuk kuasa, secara rasminya sejak lama dulu lagi. Secara rasminya, Barisan Nasional mempunyai 14 parti komponen di mana UMNO merupakan tunggaknya. Tetapi secara tidak rasmi, Barisan Nasional mempunyai 17 anggota komponen . Suruhanjaya Pilihan Raya adalah komponen yang kelima belas. Yang ke enam belas ialah Polis Raja Di Malaysia, dan SPRM adalah anggota yang ke tujuh belas. Semua komponen ini berkhidmat kepada UMNO dan Perdana Menteri.
Perkara ini sudah berjalan begitu lama. SPRM berlagak laksana dewata. Mereka culik ahli keluarga dan siksa mereka. Mereka ancam untuk membunuh mereka yang disiasat seandainya si mangsa enggan membuka rahsia.
Segala pertanda memang sudah lama nyata. Loceng penggera sudah lama dicanang. Tetapi semua itu sengaja tidak dipedulikan. Ia sengaja diabaikan kerana berita itu telah dimulakan oleh Malaysia Today. Mereka menganggap Malaysia Today sebagai sumber yang tidak boleh dipercayai. Mereka kata Malaysia Today penuh bergelumang dengan desas-desus dan karut-marut belaka.
"Mana buktinya?" kata mereka. "Tunjukkan mayatnya," desak mereka. Kalau tidak ada bukti dan mayatnya tentu tidak ada jenayah yang dilakukan.
Akan tetapi pada hari ini memang ada mayatnya. Itulah mayat seorang anggota pembangkang berbangsa Cina yang telah ditangkap dan dibalun oleh pegawai SPRM. Memang beliau telah disiksa kerana pihak SPRM mahu beliau bercerita.
Tetapi dia tidak boleh bercerita kerana tidak ada bahan yang mahu diceritakan. Pihak SPRM mahu dia menyebut beberapa nama orang tertentu di pihak pembangkang. Mereka mahu dia mengaitkan kawan-kawannya di pihak pembangkang kerana melakukan jenayah yang didakwa oleh SPRM telah dilakukan oleh pihak pembangkang.
Si mati telah cuba memberi penjelasan yang dia bukannya berdegil. Dia cuba perjelaskan tidak ada sebarang jenayah yang telah berlaku. Dia juga cuba menjelaskan bahawa adalah tidak wajar dia menuduh rakan-rakannya dalam parti pembangkang atas jenayah yang menjadi khayalan pihak SPRM.
Kerana itu mereka terus menyiksa beliau. Tenlulah dia tidak dapat bertahan lama dengan penyiksaan itu. Dia bukannya orang yang gagah perkasa. Dia cuma seorang insan lelaki yang bercadang mahu berkahwin pada hujung minggu ini. Itu sahaja yang mahu dilaksanakannya.
Mereka telah mengugut mahu membunuhnya seandainya dia enggan akur. Dengan air mata yang berlinangan dia telah merayu agar dia tidak disiksa lagi. Mereka mengugut mencampakkannya ke bawah dari tingkat atas kalau beliau enggan mengikut arahan. Dia terus menangis dan melulut meminta belas kasihan agar tidak diapa-apakan. Mereka telah mengheret beliau ke arah satu jendela yang telah terbuka. Ketika itu, sesuatu telah berlaku di luar jangkaan.
Tindakan pegawai SPRM itu hanya satu ugutan dan tindakan olok-olok sahaja. Mereka Cuma mahu mengancam dan mengugut sahaja. Mereka cuma mahu dia melihat pemandangan apa yang ada di bawah sana daripada jendela terbuka itu.
Malangnya si anak muda itu menjadi panik. Dia gayat dengan ketinggian dan menjadi tergamam melihatkan betapa tingginya tempat dia berdiri. Dia telah meronta-ronta. Sehinggakan mereka tidak mampu memegang dan mengawal dirinya, sehinggakan dia tersilap langkah dan terjatuh ke bawah dan menemui ajal.
SPRM kemudiannya membuat pengumuman bahawa mereka telah membebaskannya pada malam sebelumnya. Apa yang mereka gagal umumkan bahawa setakat membebaskannya daripada cengkaman duniawi.
Kononnya mereka terkejut mendapati mayatnya satu hari selepas mereka membebaskannya. Kononnya dia telah membunuh diri. Dia tidak pernah disiksa. Dia tidak pernah diheret ke tingkap dengan ugutan mahu mengajar dia bagaimana terbang ke bumi.
Perkara semacam ini sudah terlalu lama berlaku. SPRM berlagak laksana dewata. Mereka culik anggota keluarga dan siksa orang yang mereka tangkap. Kemudian mereka ancam orang yang ditangkap itu dengan ugutan mati kalau enggan bercerita.
Kini seorang anak muda baharu sahaja menemui ajal. Tetapi, tidak ada sesiapa yang akan terhukum kerana mereka akan kata si anak muda itu telah membunuh diri. Kenapa dia membunuh diri itu, tidak pula sesiapa yang tahu. Dia tidak pernah disiksa. Dia tidak pernah diugut dengan kematian. Dia tidak pernah diheret untuk melihat bumi daripada tingkat yang tinggi. Dia tidak terlepas secara tidak sengaja apabila dia panik dan kerana mereka tidak berjaya memegang badannya semasa membuat ugutan itu.
Inilah cerita yang akan mereka ulang-tayang kepada kita hari ini dan seterusnya.
Krisis Istana: Tak Mahu Caro, Diam Juga Nasihat? -Nik Aziz
14 tahun yang lalu
0 ulasan:
Catat Ulasan