BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

sports

hiburan bisobona sensasi

politik terkini, layannnn...

Rabu, 19 Ogos 2009

Liverpool 'wajib' bangkit

19 Aug 2009 8:50AM
Oleh Saparin Rasikin
MASIH terlalu awal untuk menidakkan peluang Liverpool memenangi mahkota Liga Perdana musim ini.

Bagaimanapun, keprihatinan mula timbul tentang kemampuan naib johan musim lalu itu selepas mengalami kekalahan 1-2 kepada Tottenham Hotspur Ahad lalu.

Anak buah Rafael Benitez akan menentang Stoke City di Anfield hari ini (Khamis, 3 pagi waktu Malaysia) dan mereka mesti bangkit jika mahu kembali ke laluan merebut kejuaraan.

Liverpool merupakan satu-satunya daripada empat pasukan teratas di England yang kecundang dan ia akan berdepan dengan Stoke, yang menewaskan Burnley 2-0 dalam perlawanan pembukaannya Sabtu lalu.

Jika gagal, ia akan mengundang krisis dalaman dan Benitez akan terus menghadapi tekanan atas kegagalannya mengekalkan skuad mantap musim lalu, terutama sekali pemindahan tunggak midfieldnya, Xabi Alonso, ke Real Madrid.

Pemain Brazil, Lucas, yang diharap dapat mengisi peranan Alonso, nampaknya gagal dan keadaan diburukkan lagi dengan persembahan hambar Ryan Babel, yang disebut-sebut oleh Benitez akan menyerlah musim ini.

Kecederaan yang dialami dua pemain bek tengah, Jaime Carragher dan Martin Skrtel yang berlaga sesama sendiri, mungkin penyumbang kepada persembahan yang kurang meyakinkan itu.

Sungguhpun akur Liverpool perlu meningkatkan persembahan apabila menentang Stoke, Benitez menolak kehilangan Alonso merupakan antara punca kekalahan di White Hart Lane itu.

'Kami bermain dalam banyak perlawanan tanpa Alonso musim lalu dan memenanginya, saya fikir kami mempunyai cukup kualiti dalam skuad ini dan kami akan membuktikannya,' tegas jurulatih dari Sepanyol itu.

'Kami gagal bermain dengan baik dan itu bukan kerana tekanan ke atas kami. Kami tidak bermain dengan baik dalam separuh masa pertama di Tottenham tetapi kami bermain lebih baik selepas rehat.

Kapten pasukan, Steven Gerrard, yang menjaringkan gol sagu hati menerusi tendangan penalti ke atas Tottenham, juga perlu bermain lebih baik untuk menjadi inspirasi kepada rakan-rakan.

Gerrard telah bekerja keras membantu penyerang Sepanyol, Fernando Torres, dan beliau perlukan umpanan-umpanan yang lebih baik dan tajam daripada rakan-rakan midfield seperti Javier Mascherano dan Dirk Kuyt.

Kemasukan Yossi Benayoun menggantikan Babel pada suku terakhir permainan menunjukkan kemajuan dalam permainan Liverpool dan bintang Israel itu dijangka dikekalkan.

Torres, yang sebelum perlawanan menyatakan Liverpool perlu menang ke atas Tottenham, juga perlu bekerja keras bagi meloloskan diri daripada kawalan rapi pemain pertahanan lawan.

Dalam perlawanan dengan Tottenham, Torres gagal mendapatkan ruang untuk menggugat benteng lawan.

Itu kerana beliau sering dibayangi sama ada oleh Sebastien Bassong, pemain baru dan penjaring gol kemenangan tuan rumah, dan bek kiri, Benoit Assou-Ekotto, penjaring menyumbangkan gol pertama pasukannya.

Apa yang diperlukan oleh Torres ialah gerakan tajam dan ruang berlari menyambut umpanan untuk membuat percubaan-percubaan lebih mengancam.

Ini bagi mengelakkan Liverpool mengalami nasib seperti musim lalu apabila Stoke menyekat mereka tanpa gol di Anfield dan keputusan tersebut turut membantu pasukan pimpinan Tony Pulis mengelak diturunkan daripada Liga Perdana.

Malah, para pemain Stoke bertandang ke Anfield dengan semangat yang membara selepas mengecap kemenangan ke atas Burnley.

Bagaimanapun, Pulis tetap menjangka laluan yang lebih sukar musim ini dan kemenangan pertama tidak akan membuat mereka berasa terlalu yakin untuk kekal dalam liga elit ini.

Beliau sedar perlunya terus mencatat keputusan yang baik dan menjadi pasukan yang disegani dalam liga ini.

'Statistik menunjukkan tahun kedua adalah paling sukar,' ujarnya, mengulas penampilan Stoke buat musim kedua berturut-turut dalam Liga Perdana ini.

'Saya ingin memastikan tiada pemain yang bersikap ambil mudah. Ada orang yang menyatakan Stoke tidak akan dapat bertahan musim ini dan kami perlu membuktikan tanggapan itu salah.

'Adalah penting kelab ini kekal dalam Liga Perdana untuk tiga musim. Jika ini dapat dilakukan, kami akan dapat membina asas yang kukuh untuk bersaing dengan kelab-kelab mapan,' tambah Pulis.

Dengan Liverpool berazam menebus kekalahan, anak buah Pulis dijangka sukar menyekat mereka kali ini.

0 ulasan: